Berita Harian

1 November 2003

SEDIA 'MAIN' CAT

Karyawan sertai projek beri wajah baru kepada rumah penghuni susah di Tanglin Halt

BIASANYA mereka berpakaian baju kemeja, berseluar panjang dan lengkap bertali leher.

Namun, jatuh tanggal 15 November ini, kesemua pakaian itu akan diketepikan dan sebaliknya mereka akan mengenakan kemeja-T dan berseluar pendek.

Sebabnya: Para karyawan ini, yang merupakan sebahagian daripada sebuah kumpulan sukarela, akan menggabung tenaga untuk membersih dan mengecat beberapa unit di estet Tanglin Halt sempena Syawal yang bakal menjelang.

Dianggarkan lebih 80 sukarelawan berbilang bangsa, usia dan latar belakang daripada kumpulan sukarela Spaces Community ini akan terlibat dalam acara amal sehari itu yang ditujukan khas kepada para penghuni yang memerlukan di estet perumahan Tanglin Halt.

Mereka terdiri daripada para pelajar berusia lewat belasan tahun, para pekerja termasuk karyawan seperti jurutera, banker, konsultan, pekerja sosial, pakar psikologi dan juga seorang bekas paderi berusia 70 tahun.

Diberi nama Projek Pelangi, acara itu dijangka melibatkan sekitar 20 unit jenis dua dan tiga bilik dalam kawasan blok 33 hingga 45.

Semasa ditemui, anggota yang mengetuai acara itu, Encik Jerry Siah, 31 tahun, berkata projek itu diharap dapat terus merapatkan jurang antara kaum di sini.

'Dengan cara ini juga dapat lagi kami yang bukan Islam mengenali erti Ramadan kerana selepas acara itu, kami akan menganjurkan majlis Iftar bersama para penduduk yang terlibat,' kata jurutera itu lagi.

Kumpulan Spaces Community yang ditubuhkan sekitar September lalu, dikendalikan sebuah agensi kaunseling dan pembangunan masyarakat tanpa keuntungan berbilang kaum yang diberi nama Spaces.

Agensi Spaces yang ditubuhkan pada 2001, antara lain mengadakan kaunseling bagi mereka yang menghadapi berbagai masalah keluarga, seks dan isu kerjaya.

Ketuanya, Encik Clarence Singam, 39 tahun, seorang banker, berkata:
'Kami pilih nama Projek Pelangi kerana ia bagaikan memberi keceriaan kepada mereka yang memerlukan terutamanya semasa perayaan yang bakal menjelang.'